Sabtu, 31 Oktober 2020

Gempa bumi kuat gegarkan Turki dan Greece


ANKARA: Satu kejadian gempa bumi kuat melanda Laut Aegea pada Jumaat (30/10/2020), di mana gegaran itu dirasai di Greece dan Turki. Kebanyakan penduduk di bandar Izmir turut melarikan diri ke jalan utama sejurus gempa itu berlaku.


Imej dikongsi di media sosial juga menunjukkan aliran air di beberapa jalan utama dicetuskan daripada kenaikan gelombang laut akibat daripada gegaran tersebut.


Sekurang-kurangnya empat terkorban manakala 120 lagi cedera apabila gempa kuat menggegar Laut Aegean di pantai barat Turki dan beberapa bahagian di Greece.


Media tempatan turut mengesahkan gegaran berkekuatan 7.0 magnitud mencetuskan gelombang tsunami berskala kecil di Seferihisar dan menyebabkan enam struktur runtuh.


Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu, dalam ciapan di Twitternya memberitahu, enam kejadian bangunan runtuh di dua daerah di wilayah tersebut.


Memetik laporan Reuters, beberapa bangunan di wilayah Izmir turut runtuh akibat gegaran berukuran 7.0 itu. Ia melanda sekitar jam 2:50 tengah hari waktu tempatan itu dirasai di sepanjang pantai Aegean di Turki dan juga barat laut wilayah Marmara.


Menurut USGS, pusat gempa tersebut terletak kira-kira 33.5 kilometer di luar pantai Turki pada kedalaman 10 kilometer.


Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu dan rakan sejawatannya di Greece, Nikos Dendias juga sepakat untuk membantu antara satu sama lain walaupun kedua-duanya terlibat pertikaian berhubung hak sumber tenaga di timur Mediterranean.


Penduduk Pulau Samos, yang mempunyai sekitar 45,000 penduduk, diminta untuk menjauhkan diri dari kawasan pesisir pantai.


EmoticonEmoticon