Sabtu, 29 Jun 2019

Kisah Seekor Babun Yang Berkhidmat 9 Tahun Di Stesen Kereta Api


Pada penghujung abad ke-19, seorang lelaki bernama James Wide bertugas sebagai seorang pengawal di sebuah stesen kereta api di Cape Town, Afrika Selatan. Wide juga dikenali sebagai ‘The Jumper’ kerana dia mahir melompat naik dan turun daripada kereta api yang sedang bergerak.

Dalam satu kejadian tragis yang berlaku pada tahun 1877, Wide telah kehilangan kedua-dua belah kakinya akibat kemalangan ngeri. Insiden malang ini berlaku apabila Wide telah tersilap langkah dan mendarat di trek. Kakinya tersekat dan telah digilis oleh kereta api seberat 80 tan.

Kedua-dua belah kakinya itu cedera teruk dan terpaksa dipotong. Sebaik sahaja pulih, Wide telah mencipta sepasang kaki kayu palsu untuk membolehkannya berjalan. Wide merayu agar majikannya memberi peluang untuk dia bekerja semula. Pihak atasan yang bersimpati dengan nasib malang yang menimpa Wide itu akhirnya akur dan memberinya tugas sebagai seorang tukang isyarat.

Dia bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada konduktor melalui pelbagai isyarat yang diletakkan di atas trek. Kerja ini tidak memerlukan aktiviti fizikal yang banyak kerana ia boleh dilakukan dengan hanya duduk di atas kerusi. Walau bagaimanapun, Wide masih memerlukan seseorang untuk membantunya pergi dan balik dari tempat kerja.

Memandangkan Wide merupakan seorang yang tidak mudah mengalah, dia telah membuat satu troli supaya dia boleh duduk di atasnya. Walaupun troli tersebut adalah penyelesaian yang praktikal, namun ia agak memenatkan buat Wide jadi dia mula mencari alternatif lain.

Akhirnya, Wide telah menemui jawapan kepada masalah yang dihadapinya itu. Ketika dia melawat pasar tempatan, dia telah melihat seekor babun yang sedang memandu kereta kuda. Tanpa berlengah, Wide terus menemui pemilik babun tersebut.

Pemiliknya memberitahu bahawa babun baka Chacma itu telah dilatih untuk mematuhi beberapa arahan asas dan kerja yang setara dengan kekuatan fizikalnya. Ketika itu, Wide yakin bahawa Jack adalah pembantu yang dia perlukan bagi menjalani rutin hariannya.

Wide kemudian meminta pemilik babun itu untuk menjual haiwan tersebut kepadanya. Melihatkan keadaan Wide serta harga yang ditawarkannya, pemilik babun tersebut bersetuju untuk menyerahkan Jack. Pada mulanya, Wide hanya melatih Jack untuk menolak troli yang dinaikinya untuk pergi bekerja. Selepas beberapa ketika, Wide menyedari bahawa kebolehan Jack adalah lebih daripada itu.

Sebagai contoh, apabila pemandu kereta api meniup wisel sebanyak empat kali, tugas Wide adalah untuk mengambil kunci daripada loker bertutup untuk diserahkan kepada mereka. Jack yang sering melihat perbuatan itu kemudian melakukannya sendiri bagi pihak Wide.

Selain itu, Jack juga belajar bagaimana cara untuk mengendalikan tuas di dalam kotak isyarat yang mengawal bahagian trek. Jack pantas mempelajari sesuatu terutamanya apabila sistem tersebut bergantung kepada isyarat bunyi. Kotak isyarat tersebut mempunyai beberapa tuas yang mengawal trek sekiranya ditarik mengikut susunan yang tertentu.

Betapa pandainya Jack, dia tahu mana satu yang perlu ditarik berdasarkan bilangan tiupan wisel oleh pemandu. Namun, terdapat sesetengah penumpang yang berasa tidak selesa kerana nyawa mereka bergantung kepada seekor babun. Aduan terhadap Jack telah difailkan oleh seorang lelaki yang menyebabkan Jack dan Wide telah dipecat.

Wide kemudian merayu kepada majikannya dan dia telah disokong oleh beberapa orang rakan sekerja yang telah berhujah mengenai kebolehan Jack. Rayuan Wide dipertimbangkan di mana syarikat kereta api itu memutuskan untuk menguji Jack, memberikannya senario sukar bagi melihat sejauh mana babun itu bersedia dan dapat menyelesaikannya.

Jack ditempatkan di hadapan satu set tuas dengan susunan yang sama seperti dalam pondok isyarat dan beberapa tiupan wisel dimainkan dengan cepat bagi menguji kecekapannya mengendalikan tuas itu. Jack lulus dengan baik dan syarikat itu telah memilih untuk mengambil kedua-duanya bekerja semula.

Sebagai pekerja rasmi Landasan Kereta Api Kerajaan Cape, Jack menerima gaji sebanyak 20 sen sehari atau kira-kira $5 (RM20) hari ini. Pada hari Sabtu pula, dia diberi bonus tambahan iaitu minuman bir dan makanan ringan. Stesen kereta api tersebut telah menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin menyaksikan kehebatan babun itu bekerja.

Pada tahun 1890, Jack telah dijangkiti Tuberkulosis (TB) dan mati. Babun itu telah bekerja selama sembilan tahun untuk syarikat kereta api itu. Selama bekerja di situ, dia tidak pernah melakukan sebarang kesilapan atau mengakibatkan apa-apa kemalangan. Siapa sangka, babun pun mampu bekerja mengalahkan manusia.


EmoticonEmoticon