Rabu, 16 Mei 2018

Misteri Mimaland 24 tahun terbiar di Ulu Gombak kini menjadi 'bandar hantu'

 
Ramai tidak tahu kewujudan tempat ini, sehinggalah baru-baru ini Mimaland (Malaysia In Miniature Land) disenaraikan antara tempat paling menyeramkan di Malaysia. Mimaland adalah sebuah taman tema canggih dan menjadi pilihan ramai selepas memulakan operasi pada 1971.

Pada tahun 1994, taman tema terbesar di Malaysia ini terpaksa ditutup dan terbiar hingga kini. Dua insiden menyumbang kepada penutupan taman tema ini. Pertama, kemalangan terjadi di kawasan papan luncur air gergasi pada Januari 1993, menyebabkan seorang warganegara Singapura berusia 27 tahun maut.

Kedua, tanah runtuh mengakibatkan kerosakan pada dinding kolam renang di kawasan sama pada Mei 1994. Tidak pasti sama ada kejadian itu hanyalah kebetulan atau mempunyai unsur mistik seperti tersebar di Internet. Mimaland terus pudar daripada ingatan ramai selepas ditutup sepenuhnya.


Mungikn juga ramai di antara kita tidak pernah mendengar tentang Mimaland sebelum ini kan? Melalui carian maklumat di Internet mendapati Mimaland adalah taman tema pertama dan terbesar di Malaysia pada 1970-an. Merupakan taman tema paling popular ketika itu, diminati ramai khususnya penduduk sekitar Kuala Lumpur.

Mimaland juga merupakan antara lokasi pilihan untuk pengambaran filem. Adakah kamu masih ingat filem 'Gila-Gila Remaja'? Filem ini pernah menjalankan pengambaran beberapa babak di Mimaland. Menariknya tentang taman tema ini, ia bercirikan idea moden yang dilengkapi papan luncur air gergasi dan kolam renang terbesar di Asia Tenggara ketika itu.

Selain replika Dinosaur bersaiz besar dan restoran terapung, tasik untuk aktiviti bersampan dan memancing juga antara tarikan popular. Mimaland pernah menjadi taman tema canggih dan terhebat pada era 70-an yang dibangunkan meliputi kawasan seluas 300 ekar. Kini, semuanya telah berubah bagaikan 'bandar berhantu' sejak ditutup sekitar 24 tahun lalu.





Mimaland dikatakan berhantu kerana ditinggalkan sekian lama, ada menggelarnya kawasan keras dan kawasan hitam, tetapi ada laporan mengatakan syarikat hartanah berminat membangunkannya semula. Namun The Star melaporkan MPHB Capital Bhd menggugurkan perjanjian usaha sama dengan Magna Senandung Sdn Bhd, untuk membangunkan tanah Mimaland Bhd seluas 122 hektar di Gombak.

Perjanjian usaha sama itu dimeterai pada 29 April 2011 untuk membangunkan semula taman tema yang ditutup sejak 1994 ini. MPHB dilaporkan memiliki 98% kepentingan dalam Mimaland, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MPHB berkata keputusan menamatkan perjanjian itu dibuat selepas mencapai persetujuan bersama.

Mimaland terus terbiar hingga ke hari ini diseliputi hutan tebal. 4 tahun lalu, Kelab Berbasikal Alternatif Gombak (ACCG) telah menganjurkan penjalajahan berbasikal di 'Lost World of Mimaland Mini'. Anjuran itu menarik minat 800 peserta meredah kawasan tidak berturap di Mimaland, mendaki laluan tidak rata dan anak sungai.

Selain itu, ada juga pengambaran dibuat oleh sekumpulan remaja mendedahkan pengalaman ngeri seperti mendengar suara perempuan menyanyi di tasik Mimaland, ada di antara mereka yang kerap terseliuh kaki. Yang pasti, satu ketika dulu tempat ini mengukir banyak memori indah terutama warga sekitar Kuala Lumpur.

Kumpulan City Kids sewaktu menjalani pengambaran di Mimaland untuk rancangan Melodi TV3 pada tahun 1992.




EmoticonEmoticon