Sabtu, 10 Oktober 2026

Penjenayah tular Damansara Damai cedera ditembak polis, ada 10 rekod jenayah

Penjenayah tular Damansara Damai cedera ditembak polis, ada 10 rekod jenayah


Seorang penjenayah yang tular dalam insiden mengejar semalam akhirnya tumpas selepas cedera ditembak polis ketika cuba meloloskan diri di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Damansara Damai, semalam.


Dalam kejadian kira-kira pukul 6.42 petang itu, suspek berusia lingkungan 30-an yang memandu kereta jenis Proton Wira telah melanggar kenderaan awam sebelum meninggalkan keretanya dan cuba melarikan diri dengan berlari di lebuh raya.


Bagaimanapun, tindakan suspek itu berakhir apabila dia berjaya diberkas selepas mengalami kecederaan akibat terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis ketika kejadian.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden mengejar antara polis peronda dengan kereta suspek dari Persiaran Mahogani menghala ke Sungai Buloh.


"Siasatan awal mendapati suspek memiliki dadah dan senjata mainan menyerupai pistol. Suspek mempunyai 10 rekod lampau iaitu enam berkaitan dadah dan empat kes jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Shamsudin berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek belum dapat dijalankan kerana sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.


Katanya, anggota peronda polis yang terlibat dalam kejadian itu turut mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di hospital.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu atau berbahaya.


"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.


Beliau menambah, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Indonesia kenal pasti 198 suspek kes bakar hutan - Duta

Indonesia kenal pasti 198 suspek kes bakar hutan - Duta


Indonesia mengenal pasti 198 suspek individu dalam siasatan kes kebakaran hutan dan tanah, selain memproses 97 laporan polis melibatkan syarikat sebagai sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani kebakaran yang turut menyebabkan jerebu di Malaysia.


Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur dalam kenyataannya, memaklumkan Polis Republik Indonesia mengendalikan 247 laporan polis melibatkan individu, manakala Kementerian Alam Sekitar Indonesia merekodkan 57 entiti perniagaan dengan kawasan konsesi yang terbakar di lapan wilayah.


Kawasan konsesi yang terbakar itu meliputi 33,514.01 hektar, membabitkan 16 entiti perniagaan di Sumatera dengan keluasan 3,813.85 hektar dan 41 di Kalimantan meliputi 29,700.16 hektar.


Menurut kenyataan itu, Kementerian Kehutanan Indonesia turut mengenakan tindakan pentadbiran terhadap 26 pihak, merangkumi pembatalan lima permit perniagaan, penggantungan 13 permit serta lapan amaran bertulis atau arahan pemulihan.


Sebanyak 46 subjek undang-undang juga dilaporkan terlibat dalam pengendalian kes jenayah, dengan 17 berada pada peringkat siasatan awal dan 27 lagi pada peringkat penyiasatan, termasuk lima syarikat dan 22 individu.


Ia menambah bahawa kerajaan Indonesia terus mempergiat operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah untuk meminimumkan kesan jerebu rentas sempadan.


Katanya, kerajaan Indonesia menggerakkan anggota tentera, polis, pasukan pemadam kebakaran hutan Manggala Agni, agensi pengurusan bencana serta sukarelawan masyarakat.


Selain itu, operasi modifikasi cuaca, 'water bombing' dan pembasahan semula tanah gambut dan penyediaan tanah tanpa pembakaran juga dilaksanakan untuk tujuan itu.


KBRI berkata Indonesia mengalu-alukan usaha memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dan negara sahabat dalam menangani kebakaran hutan dan tanah serta jerebu rentas sempadan.


Perwakilan Indonesia di Malaysia juga akan terus membantu melancarkan komunikasi dan pertukaran maklumat berkaitan usaha menangani kebakaran berkenaan.

Belanjawan 2027: Kerajaan pinda Akta Pengangkutan Jalan, pemandu mabuk wajib bayar pampasan

Belanjawan 2027: Kerajaan pinda Akta Pengangkutan Jalan, pemandu mabuk wajib bayar pampasan


Kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah untuk membayar pampasan kepada mangsa.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu diambil sebagai langkah tegas terhadap pesalah yang terlibat.


Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga akan menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan bagi mengesan risiko kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan memandu.


"Pada malam Hari Kebangsaan lalu, seramai empat orang maut termasuk sepasang suami isteri dan anak kecil mereka, dalam nahas di LPT1, Temerloh. Setakat Ogos tahun ini, sebanyak 28 kes maut akibat pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah.


"Tragedi seumpama ini menyentak sanubari kita, bahawa walaupun penguatkuasaan telah diperketat, namun pelanggaran peraturan masih lagi membimbangkan," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur pada Jumaat.


Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan juga akan terus memperkasa peranan Jurutera Daerah bagi mempercepat pelaksanaan projek kecil seperti jalan berlubang dengan peruntukan ditingkatkan kepada RM40 juta.


Selain itu katanya, sejumlah RM2.5 bilion disediakan untuk menyelenggara Jalan Persekutuan, termasuk hampir RM800 juta khas kepada kontraktor G1-G4.


"Jalan negeri juga dibaiki menggunakan dana MARRIS RM5.7 bilion. Lembaga Lebuhraya Malaysia juga akan membina 15 tempat berteduh motosikal, memasang 70 kamera litar tertutup (CCTV) di lebuh raya PLUS dan menyediakan 50 kemudahan pengecasan kenderaan elektrik di lokasi strategik," katanya.

Jumaat, 9 Oktober 2026

Remaja maut terkena renjatan elektrik ketika lari pemeriksaan polis

Remaja maut terkena renjatan elektrik ketika lari pemeriksaan polis


Seorang remaja lelaki ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika melarikan diri daripada pemeriksaan polis di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Nounton, Inanam, hari ini.


Polis menerima maklumat orang awam mengenai kehadiran remaja berusia 18 itu bersama dua lagi lelaki yang dalam keadaan mencurigakan kira-kira 4 pagi di sekitar Lorong Langsat, Jalan Inanam.


Susulan itu, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dari Balai Polis Inanam telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, sebaik tiba di lokasi pada 4.10 pagi, anggota polis mengesan tiga lelaki berada di tepi jalan berhampiran sebuah premis perniagaan.


Bagaimanapun katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis.


"Seorang daripada mereka melarikan diri dengan memasuki kawasan premis berpagar, manakala dua lagi bertindak memanjat bumbung zink sebuah bangunan berhampiran.


"Ketika cuba melarikan diri melalui kawasan bumbung berkenaan, seorang daripada lelaki terbabit (remaja 18 tahun) dipercayai terkena renjatan elektrik sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, pemeriksaan oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) kemudiannya mengesahkan kematian mangsa pada 7.40 pagi.


"Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa menemukan kesan kecederaan pada bahagian tangan kanan dan paha kanan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan renjatan elektrik.


"Setakat pemeriksaan awal, tiada kecederaan lain atau petunjuk yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah berkaitan kematian mangsa.


"Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian," katanya.


Menurutnya, dua lagi lelaki yang turut melarikan diri berjaya ditahan oleh anggota polis dan dibawa ke Balai Polis Inanam bagi membantu siasatan lanjut.


Tambahnya, pihak polis masih menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti kronologi serta keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian tersebut.


"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini sementara siasatan masih dijalankan," katanya.

4 cedera, seorang kritikal dalam nahas 12 kenderaan di lampu isyarat Alam Budiman

4 cedera, seorang kritikal dalam nahas 12 kenderaan di lampu isyarat Alam Budiman


Empat individu cedera termasuk seorang lelaki parah dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan di lampu isyarat Alam Budiman, Jalan Mokhtar Dahari, Seksyen U10, Shah Alam, hari ini.


Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.31 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong ke lokasi kejadian.


Katanya, Komander Operasi melaporkan kemalangan membabitkan 11 kereta dan sebuah lori.


"Terdapat mangsa yang tersepit dan mengalami kecederaan di kepala dalam keadaan kritikal.


"Tiga lagi mangsa terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita, dengan seorang lelaki mengalami kecederaan ringan, seorang lagi cedera di bahagian perut, manakala wanita berkenaan mengalami kecederaan di kepala dan dilaporkan separa kritikal," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, semua empat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.


"Operasi menyelamat membabitkan lima anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan operasi menyelamat dilaporkan terkawal pada jam 5.28 petang," katanya.

'Kasi kasihan sikit lah encik', rayu pelarian Rohingya selepas ditahan JPJ menunggang tanpa lesen

'Kasi kasihan sikit lah encik', rayu pelarian Rohingya selepas ditahan JPJ menunggang tanpa lesen


Seorang pelarian Rohingya merayu untuk dilepaskan selepas ditahan ketika baru pulang dari mengutip sayur kangkung sambil menunggang motosikal tanpa lesen menerusi Ops Pemandu Warga Asing (PeWA), di sekitar Meru, Klang, hari ini.


Lelaki berusia 32 tahun itu memberikan alasan terpaksa membawa motosikal demi mencari rezeki untuk menyara isteri dan tiga anak yang masih kecil.


Dia mendakwa motosikal jenis Honda EX5 yang ditungganginya merupakan pemberian seorang warga tempatan yang juga bekas majikannya yang bersimpati dengan mereka sekeluarga.


"Motor 'haji' punya, tak ada bayar, dia beri sedekah sama saya. Saya guna motor cari kangkung tepi longkang dekat sini (sekitar Klang) untuk beri makan anak, bini. Sehari dapat RM20 ke RM30.


"Saya nama Hakim, mari Malaysia 10 tahun naik kapal. Itu jam (ketika itu) kapal pecah (karam) saya tidak ingat apa jadi tahu-tahu ada dekat hospital di Kuala Lumpur. Itu mak sama ayah sudah dibunuh, ada kasi kasihan lah sikit encik," rayunya ketika ditemu bual wartawan yang mengikuti operasi.


Selain Hakim, beberapa warga asing ditahan dalam operasi itu rata-rata bekerja sebagai pemotong rumput, pekerja pembersihan, pekerja pasar, malah ada juga penjual putu mayam.


Penjual putu mayam yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 cuba berpatah balik untuk melarikan diri sejurus terlihat aktiviti pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berpakaian preman menahan warga asing.


Bagaimanapun, tindakan pantas pegawai bertugas berjaya menghalangnya daripada meloloskan diri dan lelaki itu antara 51 warga asing ditahan dalam operasi berkenaan.


Ketika ditahan, warga asing yang mendakwa sudah 13 tahun menetap di Malaysia itu mengaku tidak memiliki lesen memandu walaupun pada mulanya tidak mengaku cuba melarikan diri dan memberi pelbagai alasan.


"Tak ada saya bukan mahu lari, saya pusing sahaja. Saya memang tak ada lesen. Ini motor saya beli sama orang local (tempatan) tetapi ini putu mayam saya kerja sahaja, sehari gaji dapat RM40. Saya kerja mula 4 pagi sampai 11 pagi boleh habis lebih 100 keping.


"Saya sudah 13 tahun duduk sini Klang, saya mahu ambil lesen tetapi duit tak cukup. Dulu ada lesen tetapi sudah mati masa Covid-19 dahulu," katanya cuba berdolak-dalik.

JPJ kesan sindiket jual permit memandu antarabangsa palsu RM500

JPJ kesan sindiket jual permit memandu antarabangsa palsu RM500

 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan penjualan permit memandu antarabangsa (IDP) palsu kepada warga asing pada harga sehingga RM500, termasuk dokumen dilengkapi laman sesawang bagi memberi gambaran seolah-olah permit itu sah.


Permit yang didakwa sah sehingga lima tahun itu dikesan dan dirampas dalam operasi penguatkuasaan terhadap pemandu warga asing di ibu negara.


Semakan terhadap satu dokumen berkenaan mendapati ia memaparkan butiran laman sesawang yang membolehkan nombor siri permit disemak, sekali gus memberikan gambaran seolah-olah terdapat sistem pengesahan rasmi.


Laman sesawang itu dipercayai diwujudkan sindiket yang mengeluarkan permit palsu berkenaan, berkemungkinan sebagai kaedah tambahan untuk meyakinkan pengguna dan mengelirukan anggota penguat kuasa mengenai kesahihan dokumen terbabit.


Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam, berkata pihaknya mengesan pihak tertentu yang menawarkan dokumen yang didakwa sebagai IDP kepada warga asing, meskipun terdapat keraguan mengenai kesahihannya untuk digunakan bagi tujuan pemanduan di Malaysia.


"Kami mengesan pihak yang menawarkan dokumen yang didakwa sebagai Permit Memandu Antarabangsa kepada warga asing dengan bayaran sehingga RM500, dengan tempoh sah yang didakwa sehingga lima tahun.


"Dokumen ini dipercayai tidak memenuhi keperluan pengiktirafan bagi membolehkan seseorang memandu secara sah di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, keadaan itu membimbangkan kerana warga asing yang membeli dokumen berkenaan mungkin menyangka mereka memiliki kelayakan memandu yang sah.


Katanya, pemilikan dokumen yang tertera perkataan 'Permit Memandu Antarabangsa' tidak bermakna pemegangnya secara automatik dibenarkan memandu di jalan raya Malaysia.


"Dokumen sedemikian mestilah dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan atau pihak yang diberi kuasa oleh negara berkenaan serta memenuhi keperluan pengiktirafan yang terpakai di Malaysia," katanya.


Hamidi berkata, IDP yang dikeluarkan JPJ hanya sah untuk tempoh satu tahun, selaras dengan Konvensyen Mengenai Lalu Lintas Jalan Raya yang ditandatangani di Geneva pada 19 September 1949.


Penggunaan permit itu juga tertakluk kepada undang-undang dan peraturan negara atau wilayah masing-masing, katanya.


Beliau mengingatkan warga asing supaya tidak terpedaya dengan individu atau organisasi yang menawarkan dokumen pemanduan antarabangsa tanpa kuasa atau pengiktirafan sewajarnya.


"JPJ tidak akan berkompromi terhadap penggunaan dokumen pemanduan yang tidak sah. Tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, JPJ Kuala Lumpur mempergiat operasi penguatkuasaan terhadap pemandu warga asing menerusi Ops Pewa.


Dalam operasi semalam, sebanyak 47 kenderaan disita daripada 121 kenderaan yang diperiksa, membabitkan 40 motosikal, empat kereta dan tiga kenderaan barangan.


Sebanyak 273 notis dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pelbagai kesalahan, termasuk pelanggaran syarat lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, kesalahan berkaitan insurans serta ketidakpatuhan aspek teknikal kenderaan.


Operasi itu turut menyaksikan seramai 58 warga asing, terdiri daripada pemandu, pembonceng dan penjaga kenderaan, dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Warga asing sewa motosikal orang tempatan RM200 sebulan

Warga asing sewa motosikal orang tempatan RM200 sebulan


Segelintir pemilik motosikal tempatan dipercayai menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing pada kadar RM200 sebulan bagi memudahkan golongan itu berulang-alik ke tempat kerja.


Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zulkifly Ismail menerusi Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan di sekitar Georgetown bermula pukul 5 hingga 10 pagi tadi.


Menurutnya, dalam operasi tersebut sebanyak 694 kenderaan yang digunakan warga asing terdiri Myanmar, Bangladesh, India dan Indonesia telah diperiksa dan 74 daripadanya telah disita.


"Kesalahan paling banyak dikesan ialah memandu tanpa lesen yang sah dengan 158 tindakan, diikuti 50 kesalahan melibatkan lesen kenderaan motor yang tamat tempoh.


"Daripada pemeriksaan yang dijalankan, ada kenderaan milik warga asing sendiri dan ada juga yang dimiliki warga tempatan sebelum disewakan kepada warga asing pada kadar kira-kira RM200 sebulan," katanya pada sidang akhbar di JPJ Batu Uban, hari ini.


Dalam pada itu, katanya lagi, pihaknya turut mengesan seorang warga asing yang membeli motosikal menggunakan nama sendiri walaupun tidak mempunyai lesen memandu.


"Penunggang motosikal terbabit merupakan warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 30-an dan dia baru tiga hari membeli motosikal secara ansurans dari kedai," katanya rata-rata warga asing yang ditahan dalam operasi itu terdiri daripada pekerja kontrak dan kilang.


Katanya lagi, kebanyakkan warga asing memberi alasan yang mereka memerlukan motosikal untuk berulang-alik ke tempat kerja.


"Keperluan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar undang-undang jalan raya," tambahnya tindakan menyita kenderaan dilaksanakan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

pegawai, anggota polis dituduh semula, tidak mengaku ambil dadah

pegawai, anggota polis dituduh semula, tidak mengaku ambil dadah


Seorang pegawai dan 11 anggota polis dituduh semula di Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, dua tahun lalu.


Tertuduh ialah Muhammad Shabri Salamat, 32, Syamsul Ismail, 29, S. Sarvindran, 30, Mohammad Muizzuddin Mohamad Taib, 31;, Khairol Nizam Mohamad, 36, Mohd. Arami Aluwi, 36, dan Muhammad Azri Zakariya, 37.


Lima lagi ialah G. Selva Kumar, 38, Wan Muneer Abdullah, 38, Muhammad Hazri Ramle, 42, Mohd Fazly Long, 47, dan Mohd Khairi Zakaria, 57.


Mereka yang berpangkat inspektor, sarjan, koperal dan lans koperal bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman dan Noor Fazlina Musa.


Mereka dituduh semula semalam setelah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi pertuduhan tersebut di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada April lalu.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan tanpa kebenaran memasukkan dadah jenis ketamin dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) ke dalam badan di sebuah premis di Aman Square, Sungai Petani antara pukul 4.20 pagi hingga 7.23 pagi, 2 Oktober 2024.


Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000, jika sabit kesalahan.


Sementara itu, ketika prosiding di hadapan Majistret Noor Fazlina, peguam, Datuk Suhaimi Ibrahim yang mewakili lapan tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya dituduh semula selepas kes tersebut diputuskan sebagai DNAA pada peringkat setelah dua saksi memberi keterangan dengan perbicaraan dijalankan secara serentak.


Seterusnya, Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamaruzzaman menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.


Suhaimi kemudian memohon jaminan dikurangkan memandangkan semua anak guamnya kini digantung tugas sehingga kes selesai.


Peguam, Suhaimi dan Mohd Khairul Fairuz Rahman mewakili lapan tertuduh, manakala peguam, Burhanudeen Abdul Wahid mewakili empat tertuduh.


Majistret di kedua-dua mahkamah membenarkan jaminan antara RM1,800 hingga RM2,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November sebagai tarikh pengurusan kes.


Media pada 3 Oktober 2024 melaporkan Polis Diraja Malaysia menggantung tugas 12 pegawai dan anggota polis yang positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sungai Petani pada 2 Oktober.


Ketua Polis Negara ketika itu iaitu Tan Sri Razarudin Hussein berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terbabit kes jenayah dan masalah disiplin.

'Saya mohon maaf cemarkan nama baik Yusof Haslam' - Tisha Shamshir

'Saya mohon maaf cemarkan nama baik Yusof Haslam' - Tisha Shamshir


Pelakon Gerak Khas 2.0, Tisha Shamshir memohon maaf kepada penerbit, Datuk Yusof Haslam susulan kes dadah membabitkan dirinya yang menjejaskan kredibiliti pengarah terkenal itu.


Tisha atau nama sebenarnya, Shanorbiah Shamsir Alam, 40, berkata permohonan maaf serupa juga ditujukan kepada ahli keluarganya berikutan kes yang kini masih dibicarakan di mahkamah.


"Saya ingin memohon maaf kerana saya sedar perkara ini sedikit sebanyak telah mencemarkan nama baik majikan saya, Datuk Yusof Haslam. Saya juga ingin meminta maaf kepada keluarga saya. Saya doakan yang terbaik sahaja.


"Apa pun, ujian daripada Allah itu memang hebat, memang berat. Saya terima dengan hati terbuka dan harap saya kuatlah," kata Tisha selepas sebutan semula kesnya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.


Begitupun, pelakon juga penyanyi enggan mengulas lanjut mengenai prosiding berkenaan selain hanya meminta ruang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.


"Saya tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan. Maaf, saya minta maaf. Saya cuma nak menjalani kehidupan seperti biasa," ujarnya.


Pada masa sama, Tisha meminta netizen agar tidak terburu-buru menghukum seseorang tanpa mengetahui perkara sebenar.


"Apa yang boleh saya katakan di sini, kita semua manusia biasa. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan atau kekhilafan. Saya minta netizen di luar sana janganlah terlalu cepat untuk menghukum seseorang," katanya.


Ditanya mengenai kesan kontroversi tersebut terhadap kerjayanya, Tisha mengakui perkara itu sedikit sebanyak memberi impak terhadap perjalanan profesional sebagai pelakon.


"Sedikit sebanyak memang ada," katanya.


Semalam, pelakon itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.10 pagi berbaju kebaya moden serba biru, berkaca mata hitam dan diiringi pengawal peribadi. Hasil prosiding, mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes.


Pada 7 Julai lalu, pelakon drama bersiri Gerak Khas 2.0 itu ditahan bersama beberapa individu lain di sebuah bilik VIP di sebuah pusat hiburan di ibu negara dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.


Serbuan menerusi Op Noda itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama IPD Dang Wangi pada pukul 3.15 pagi.


Susulan itu, tertuduh, Tisha mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan kes di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada 10 Julai lalu dan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ainna Maryam Norazman mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warganegara.


Tisha yang diwakili peguam bela, Nik Azhar Nik Adib memohon jumlah jaminan rendah dengan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan semalam sebagai tarikh sebutan semula kes.